Sunday, December 28, 2014
May 2015 be peaceful - real peace, as in letter and in spirit, Lord Buddha taught thus.
Labels: agama, agama buddha, akhlak, aman, beings, born, buddhism, happy, Karaniya Metta Sutta, kasih sayang, love, metta, Sutta
Monday, December 22, 2014
AMALAN BERPUASA DI KALANGAN BUDDHIST
Lazimnya, puasa diertikan sebagai penahanan diri atau
mengurangkan kekerapan daripada melakukan sesuatu untuk memuaskan nafsu
pancaindera seperti makan, mendengar muzik dan lain-lain.
Amalan puasa bukan sahaja terbatas kepada satu agama
tetapi juga diamalkan oleh kebanyakan agama sebagai suatu cara mencapai
objektif yang lebih bersifat kerohanian. Satu hasil yang jelas daripada amalan
puasa adalah kejayaan pengamalnya mengatasi hawa nafsu.
Di kalangan penganut agama Buddha, puasa diamalkan
sebagai satu cara mengatasi lobha, iaitu sifat tamak haloba
untuk melayan nafsu. Menurut Buddha, lobha adalah salah satu daripada TIGA RACUN (lobha - tamak haloba, dosa
- hasad dengki & moha - kejahilan) yang harus diatasi
untuk mencapai Nibbana.
PUASA GOLONGAN SANGHA DAN GOLONGAN UPASAKA/UPASIKA
Para Sangha (sami) mengamalkan puasa sepanjang
hayat mereka menganggotai pertubuhan Sangha dengan makan pada masa
yang ditetapkan sebelum tengah hari, tidak mengenakan wangi-wangian, tidak
bersetubuh dan tidak melekakan diri dengan pertunjukkan serta muzik. Amalan
mereka diperkayakan dengan mengikut 227 peraturan Sangha yang juga dikenali
sebagai undang-undang Vinaya.
Untuk golongan Upasaka
& Upasika (para Buddhist lelaki & perempuan), mereka berpuasa
dengan berpegang kepada amalan Attha Sila (Lapan Amalan Moral)
berikut :
1.
Hindari daripada membunuh atau mencederakan semua
makhluk.
2.
Hindari daripada mencuri atau mengambil barang yang bukan
kepunyaan diri tanpa kebenaran tuannya.
3.
Hindari daripada hubungan kelamin.
4.
Hindari daripada menipu, bahasa kasar dan pertuturan
negatif.
5.
Hindari daripada arak atau lain-lain makanan/ minuman
yang memabukkan.
6.
Hindari daripada makan pada masa yang tidak sesuai (masa
sesuai merujuk kepada awal pagi dimana garisan di tapak tangan jelas kelihatan
tanpa menggunakan lampu sehingga tengah hari)
7.
Hindari daripada menari, menyanyi, mendengar lagu,
menonton rancangan hiburan, mengenakan kalung bunga, wangi-wangian serta mengenakan
kosmetik.
8.
Hindari diri daripada menggunakan tempat tidur dan duduk
yang tinggi dan mewah.
Upasaka & Upasika tidak diwajibkan,
tetapi digalakkan untuk mengamalkan puasa ini. Walaubagaimanapun, orang yang
mengikuti program tafakur (meditation
retreat) biasanya mengamalkan Attha Sila.
Merujuk kepada kitab,
puasa ini dijalankan pada hari-hari fasa bulan tertentu yang dikenali sebagai
hari Uposatha,
iaitu semasa fasa-fasa bulan baru, bulan suku pertama, bulan suku ketiga dan
bulan purnama. Penganut Buddha yang menjalankan puasa pada hari-hari Uposatha
dikatakan sebagai mengikut Uposatha Sila.
Jika puasa ini dijalankan pada
hari-hari selain hari Uposatha, penganut tersebut
dikatakan mengikut Attha Sila. Kedua-dua
puasa ini diamalkan dari sebelum subuh
sehingga subuh keesokkan hari. Tempoh mengamalkan Attha Sila tidak terhad
dan boleh ditentukan oleh penganut tersebut misalnya untuk sehari, dua hari
atau lebih.
KELEBIHAN MENGAMALKAN ATTHA SILA
Jika diamati betul-betul, Attha
Sila mirip kepada beberapa amalan para Sangha seperti tidak
makan pada masa yang tidak sesuai, tidak mengenakan wangi-wangian, tidak
bersetubuh dan tidak melekakan diri dengan pertunjukkan serta muzik. Amalan ini
adalah sebahagian daripada amalan para Buddha dan para Arahant (orang yang telah
mencapai Nibbana) sepanjang hayat Mereka.
Attha Sila mewujudkan suatu keadaan
yang amat tenang kepada para pengamalnya. Keadaan yang sedemikian menanam sifat
puas dengan apa yang ada, berlawanan dengan amalan orang kebanyakkan yang
mengejar kepuasan hawa nafsu. Ini membawa kepada kebahagian tertinggi : iaitu
kebahagiaan rohani, kebebasan
daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu deria kita.
Misalnya, nafsu makan. Cara orang
kebanyakan makan semata-mata kerana keenakkan rasa, kadang-kadang dengan
gelojoh. Masa makan tidak menentu. Nafsu makan menjadi tuan. Tetapi, apabila
diamalkan Attha Sila, masa makan ditetapkan. Niat makan hanya sekadar
untuk memberikan tenaga untuk meneruskan aktiviti harian. Sifat tamak kepada
rasa dapat dilemahkan. Tubuh badan juga akan berasa ringan dan kurang
mengantuk.
Para
pengamal dapat meningkatkan kawalan kepada nafsu deria-deria dan keadaan ini
dapat membantu amalan bhavana (tafakur/ meditation). Konsep tafakur, mengikut ajaran Buddha
bertujuan melatih minda ke arah tahap kesucian tertinggi : kebebasan daripada TIGA RACUN. Maka, amalan Attha
Sila ini saling melengkapi serta menguatkan amalan Bhavana.
Akhir sekali, selain daripada
kelebihan rohaniah, di Visakhuposatha Sutta juga dinyatakan
bahawa para pengamalnya telah menjana kusala kamma (pahala / merits) yang
akan membawa mereka kepada kelahiran di syurga kelak.